Raihana atau Ana bagi sesetengah orang, adalah seorang yang sangat berahsia. Tapi tidak dengan aku. Mulut Ana memang suka bercerita kalau bersama denganku. Apa sahaja boleh diceritakan. Mungkin sifat pemalunya untuk bergaul dengan orang lain membuatkan dia lebih banyak berdiam bila berjumpa dengan mereka. Ataupun kerana hanya aku yang menjadi sahabatnya sejak kecil hinggalah ke kolej yang sama sekarang, menjadikan sifat malunya tiada padaku. Tetapi apa yang aku kagum tentang Ana, sejak kecil dia tidak pernah merungut dengan kekurangan yang ada padanya. Seolah-olah pemergian orangtuanya tidak memberi kesan yang mendalam. Hidup mesti diteruskan - itulah yang diulang berkali-kali setiap kali aku bertanya tentang keadaan itu. Rasanya aku tidaklah setabah itu.
Ana dan aku tidak mengambil jurusan yang sama. Aku mengambil jurusan perniagaan manakala dia lebih menjurus kepada seni, kerana itulah dia mengambil jurusan seni lukis. Cuma sekali-sekala kami akan bertemu di kelas Psikologi dan Bahasa Perancis. Lukisan Ana memang cantik. Tidak dinafikan lagi. Cuma dia lebih terarah kepada lukisan alam semulajadi dan contengan-contengan yang aku sendiri tidak faham pengertiannya walaupun Ana menerangkannya dengan panjang lebar. Aku memang buta seni. Tapi aku hairan kenapa Ana tidak pernah melukis potret. Katanya wajah manusia tidak perlu dipotretkan kecuali orang itu benar-benar berrmakna dalam hidup. Sehingga itu, biarlah wajah-wajah itu hidup di hati, bukan di kanvas. Bait-bait perkataan itulah yang membuatkan aku pening untuk memahaminya. Biarlah...untuk bercakap tentang tafsiran seni dengan orang macam aku, memang seperti curah air ke daun keladi saja.
Kasih umi dan abah pada Ana juga tidak banyak bezanya dengan aku. Apa yang aku ada, itulah juga yang ada pada Ana. Mujur mereka dapat menerima Ana dengan baik dan Ana juga tidak pernah merungut tentang keluarga kami yang agak ramai itu. Sekali sekala kami akan bergurau seperti adik beradik.
No comments:
Post a Comment