Friday, March 2, 2012

BAB 3

Seminggu selepas itu, Ana memperkenalkan Qayyum padaku.  Memang benar sangkaan aku, Qayyum memang agak kacak orangnya.  Ana mempertemukan kami sewaktu kelas Psikologi.  Kenapa selama ini aku tidak terperasankan orang yang sekacak itu?  Ah, terasa benar aku terlalu bertumpu pada pelajaran.  Rasa hebat juga.  Melihatkan kemesraan mereka berdua, aku menjadi cemburu.  Bukan apa, dari segi penampilan, rasanya aku lebih kemas dan teratur berbanding Ana yang berpakaian agak pelik.  Maklumlah orang seni.  Tapi melihatkan kepada penampilan Qayyum, tidak nampak pula jiwa seni padanya.  Kerana biasanya mataku selalu terpandangkan orang-orang seni ini berpakaian pelik-pelik.  Tapi tidak Qayyum.  Penampilannya biasa sahaja - t-shirt dan jeans sahaja, sama seperti pelajar-pelajar lain.
Hmm...Ana sudahpun berteman, tapi aku masih terkial-kial.  Sesekali terasa cuak juga...
Nak bercerita tentang Qayyum?  Entah apa yang istimewanya selain rupa parasnya yang kacak.  Aku belum lagi mengenali hati budinya.  Kenapa aku bercerita tentang dia pula?  Meminjam kata-kata Ana, lupakanlah masa, semuanya akan jadi baik belaka.
Tumpuan Ana pula sejak akhir-akhir ini terlalu bertumpu pada Qayyum.  Aku bagaikan tidak wujud lagi di matanya.  Ana nak pergi lab...Ana nak pergi library...Ana nak pergi kafe...  Semua itu diucapkan Ana tanpa perkataan "jom" seperti selalunya, sebelum Qayyum hadir dalam hidupnya.  Akulah orangnya yang diheret ke hulu ke hilir menemani setiap langkahnya.  Cemburu?  Ah, tidaklah.  Cuma rasa terpinggir kerana tumpuan Ana telah berubah seratus- peratus.
Untuk mengubat hati, aku mula menyibukkan diri dengan buku-buku pelajaran.  Bersama Fatihah, aku mulakan study group, walaupun hanya berdua, tapi cukuplah.  Setidak-tidaknya, kalau berteman, aku akan bertumpu lebih pada pelajaran kerana biasanya kalau bersendirian, mataku ini cepat sahaja layu ke bumi.
Di rumah, abah dan umi mula perasan akan perubahan Ana.yang sudah kurang masa bersama kami sekeluarga tapi lebih banyak berbual di telefon bimbitnya.  Sudah tentunya bersama Qayyum.  Hari minggu Ana juga sudah tak betah di rumah.  Pada umi dan abah aku katakan yang Ana sedang sibuk dengan projek lukisan terbarunya dan diskusi bersama teman-teman kuliah.  Harap-harap mereka percaya dan tidak akan bertanya lagi selepas ini kerana aku tidak tahu lagi apa yang harus dikatakan.  Takkan pula aku nak katakan yang Ana sedang bercinta?